Mengenai Kami

SEJARAH PENUBUHAN PERSATUAN KETURUNAN MEGAT TERAWIS MALAYSIA

Persatuan ini ditubuhkan khusus bagi waris keturunan MEGAT TERAWIS – Orang Kaya Bendahara, Perak yang mewarisi jawatan Bendahara Perak secara turun-temurun sejak zaman pemerintahan Paduka Seri Sultan Perak yang Pertama – Sultan Muzaffar Shah I Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah, Melaka. Megat Terawis yang merupakan putera Raja negeri Raorao di Pagaruyung telah berhijrah ke negeri Perak bersama dengan rombongan Sultan Muzaffar Shah dari Kampar, Sumatera dan sejak tahun 1528, keturunan Megat Terawis sudah mewarnai sejarah negeri Perak sehingga ke hari ini. Berdasarkan catatan salasilah, kini sudah ada 18 generasi (dan akan berkembang lagi) waris keturunan Megat Terawis bertapak di negeri Perak dan bertebaran di seluruh pelusuk negara (dan luar negara!)

Idea untuk menubuhkan persatuan keluarga ini telah mula sejak awal abad ke 20 lagi. Namun memandangkan komunikasi yang terhad serta teknologi yang terkebelakang pada ketika itu membuatkan usaha tersebut terbantut. Namun, permulaan usaha untuk menubuhkan sebuah persatuan khusus bagi keturunan Megat Terawis ini secara formal bermula pada tarikh 9 Disember 1958 dan nama yang dicadangkan pada ketika itu adalah Waris Benih Megat. Mereka yang terlibat dalam mesyuarat pencetusan idea Waris Benih Megat adalah:

  • Megat Omar Bin Megat Muhammad Ali
  • Puteri Mahyam Binti Megat Yassin
  • Dato’ Lela Diraja Megat Osman Bin Megat Muhammad Ali
  • Datin Puteri Zubaidah Binti Megat Musa
  • Megat Muhammad Isa Bin Megat Ismail
  • Wan Teh Tiksah Binti Temenggong Wan Hussin
  • Dr Megat Khas Bin Megat Omar (kemudian Dato’ Seri)
  • Puteri Hawa Binti Dato’ Megat Osman
  • Jamnah Binti Raus
  • Dato’ Megat Yunus Bin Megat Muhammad Isa (Orang Kaya Besar)
  • Megat Zainuddin Bin Megat Ahmad
  • Megat Jamal-ul-Zamri Bin Megat Muhammad Isa
  • Megat Adnan Bin Megat Omar
  • Megat Marzuki Bin Megat Omar
  • Megat Ishak Bin Megat Omar

Walau bagaimana pun, seperti yang telah disebutkan tadi, kekangan teknologi dan tahap keberkesanan komunikasi pada ketika itu telah membantutkan usaha murni tersebut. Namun, usaha tersebut tidak berkubur begitu sahaja. Usaha yang sama telah diteruskan oleh generasi seterusnya pada sekitar tahun 1980an, di bawah pimpinan ACP(B) Megat Abdul Hamid Bin Megat Jaafar – mantan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur. Nama yang dicadangkan bagi persatuan ini adalah Ikatan Warisan Megat (IKWAM). Mesyuarat penubuhan telah dilakukan dan deraf perlembagaan persatuan juga sudah disediakan namun usaha tersebut tidak dapat diteruskan ke peringkat Pendaftar Pertubuhan pada ketika itu.

Kekuatan kesinambungan warisan keluarga ini adalah pada rekod catatan salasilhnya yang tidak terputus sejak tahun 1528. Walau pun tidak ada satu pertubuhan rasmi bagi menjaga kepentingan dan kebajikan para waris, terdapat beberapa orang individu yang menjalankan usaha sendiri dengan mengemaskini rekod salasilah bagi keluarga besar yang dikenali mereka. Adalah wajar sekiranya usaha tokoh-tokoh ini diberi pengiktirafan kerana tanpa usaha mereka, asas rekod salasilah yang berkesinambungan sejak tahun 1528 tidak akan menjadi satu realiti. Para genealogis di kalangan waris yang telah berbakti adalah:

  • Wan Ismail Bin Wan Muhammad Aqib (1938)
  • Megat Ismail Bin Megat Ahmad (1954 & 1969)
  • Megat Ramli Bin Megat Jaafar (1985)
  • Megat Osman Bin Megat Abu Bakar (1993)

Pada tahun 1993, seorang pelajar Tingkatan 2 dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh sedang menjalankan kerja kursus Sejarah dan tajuk yang dipilih adalah mengengai tokoh – Dato’ Seri Dr Hj Megat Khas Bin Megat Omar. Pelajar STAR yang dimaksudkan ini adalah Megat Iskandar bin Megat Zaharuddin. Kerja kursus sejarah Tingkatan 2 ini telah menemukan beliau dengan Megat Osman Bin Megat Abu Bakar ketika membuat temu bual dengan para waris. Pada pertemuan tersebut, beliau telah buat pertama kalinya melihat carta salasilah keturunan Megat Terawis . Dari situ, minat untuk mendalami ilmu salasilah atau genealogi semakin berkembang.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1996, Megat Iskandar telah mendapat tawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Sewaktu di United Kingdom, beliau telah berpeluang untuk mendapat akses ke Ruangan Koleksi Khas di Perpustakaan School of Oriental & African Studies, University of London di mana manuskrip 40333(2) tulisan tangan dalam jawi berjudul Salasilah Keluarga Megat di Perak telah dapat di perolehi oleh beliau.

Ekstrak daripada Manuskrip 40333(2) yang mengandungi teks salasilah keturunan Megat Terawis di Perak yang tersimpan di School of Oriental & African Studies (SOAS), University of London

Dengan terjemahan yang dibuat oleh beilau semasa di United Kingdom bersama hasil kerja terdahulu daripada Wan Ismail, Megat Ismail, Megat Ramli dan Megat Osman, maka satu kerangka asas salasilah besar keturunan Megat Terawis telah dapat disediakan. Sejak itu, setiap kali pulang ke Malaysia, beliau akan menemuramah saudara mara bagi melengkapkan pangkalan data salasilah tersebut. Namun, perkembangan terbaru berlaku sebaik sahaja beliau pulang ke United Kingdom pada bulan September 2002.

Pada ketika itu, beliau merupakan Yang Dipertua Majlis Tertinggi Pelajar Malaysia di United Kingdom (UKEC) dan telah dijemput untuk menghadiri satu pertunjukan seni silat yang dipersembahkan oleh kumpulan kesenian yang diketuai oleh tokoh teater terkenal – Fauziah Nawi. Selepas persembahan tersebut, beliau telah diperkenalkan kepada semua pesilat yang terlibat dan salah seorang yang hadir adalah Sdr Tun Azmel Bin Ahmad. Secara kebetulan, Tun Azmel membawa salinan salasilahnya bersama ke UK dan salasilah cabang Megat Abdul Rahman Batu Gajah (nenda Tun Azmel) telah dapat dikemaskini.

Para peserta Silat UK – gambar diambil di London, 2002. Tun Azmel (duduk 2 dari kiri) dan Megat Iskandar (berdiri 2 dari kanan)

Satu keunikan pada ketika ini adalah setelah dikemaskini salasilah tersebut, satu cadangan dibuat untuk diwujudkan satu mailing list berasaskan web untuk menyatukan keluarga secara online. Maka, Yahoo!Groups Salasilah Megat telah diwujudkan. Pada mulanya hanya dalam lingkungan 20 orang saudara terdekat yang mempunyai akses kepada email dimasukkan ke dalam group tersebut. Tetapi, selepas satu kenduri kahwin di Ipoh, Megat Mohamad Mentaha Bin Megat Alias telah dengan jayanya telah mengambil alamat email hampir semua ahli keluarga yang hadir ke kenduri berkenaan dan telah dimasukkan ke dalam Group tersebut.

Group tersebut semakin meriah dan tidak lama selepas itu, Dato’ Megat Najmuddin Bin Dato’ Seri Dr Megat Khas (kini Tan Sri) telah menyatakan hasrat untuk menjadi hos bagi satu perjumpaan keluarga di Kelab Golf Negara Subang pada 25 Disember 2002. Pada hari berkenaan, kehadiran adalah di luar jangkaan. Anggaran 50 orang di peringkat awal ternyata tersasar jauh apabila kehadiran sebenar adalah sekitar 200 orang! Disebabkan sambutan yang begita menggalakkan, maka Dato’ Megat Najmuddin telah menugaskan Megat Zaharuddin Bin Megat Shamsudin dan Megat Mohamad Mentaha Bin Megat Alias untuk merancang dan merealisasikan Perhimpunan Keluarga Besar Waris Keturunan Megat Terawis.

Perjumpaan yang ditaja oleh Dato’ Megat Najmuddin Bin Dato’ Seri Dr Megat Khas (kini Tan Sri) pada 25 Disember 2002 di Kelab Golf Negara Subang.

Sejak itu, jawatan kuasa pun ditubuhkan dan ahli keluarga bergilir-gilir menjadi tuan rumah untuk diadakan mesyuarat jawatan kuasa. Dan, di setiap mesyuarat, terdapat ahli baharu yang diperenalkan. Jika sebelum ini hanya tahu, tapi kini sudah kenal. Setelah berhempas pulas merancang, maka pada 1 Jun 2003, Perhimpunan Keluarga kali pertama telah berjaya di adakan di Dewan Merdeka, Kuala Kangsar di mana seramai 1,700 orang telah hadir. Selain daripada peluang untuk bertemu dengan sanak saudara yang jauh dan dekat, pada Perhimpunan tersebut, peluan diambil untuk dikemaskini salasilah secara terperinci untuk semua yang hadir. Carta Salasilah gergasi juga dipamerkan ketika perhimpunan dan ternyata ia menjadi tumpuan utama pada majlis berkenaan.

Kain rentang yang dipasangdi hadapan Dewan Merdeka, Kuala Kangsar sempena Perhimpunan Keluarga Megat Terawis kali pertama pada 1 Jun 2003.

Sesi pendaftaran yang begitu sesak

Ketibaan para waris yang semakin ramai…

Kaunter kemaskini salasilah keluarga menjadi tumpuan

Melihat carta salasilah yang disambung (zaman belum tahu guna cetakan BESAR…)

Sudah jumpa nama di carta salasilah…

Barisan VVIP – generasi ke 12 atau lebih awal serta mereka yang berumur 75 ke atas. Yang paling senior adalah generasi ke-11 Almarhum Megat Hashim Bin Megat Jaafar (duduk 7 dari kanan) yang pada ketika itu berumur 94 tahun.
Jata Keturunan Megat Terawis dilancarkan secara rasmi oleh waris paling tua – Almarhum Megat Zakaria Bin Megat Aman yang pada ketika itu berumur 95 tahun. Namun, beliau adalah generasi ke 12 dan merupakan anak saudara kepada Megat Hashim yang berumur 94 tahun pada ketika itu.

Jawatan Kuasa Penganjur Perhimpunan Keluarga Megat Terawis kali pertama. Kebanyakan daripada mereka kemudian menganggotai Jawatan Kuasa Penaja bagi PERSATUAN KETURUNAN MEGAT TERAWIS MALAYSIA.

Dengan kejayaan menganjurkan Perhimpuanan Keluarga Besar di Kuala Kangsar, maka para hadirin pada majlis tersebut mengusulkan agar satu Persatuan yang formal ditubuhkan bagi menjaga kepentingan dan kebajikan ahli keluarga besar ini. Maka, pada bulan Ogos 2003, mesyuarat penubuhan persatuan telah diadakan di kediaman Datuk Dr Megat Burhainuddin Bin Megat Abdul Rahman di mana deraf perlembagaan dari IKWAM (ehsan daripada ACP(B) Megat Abdul Hamid) telah diguna pakai dan dibuat pelarasan dan penyesuaian. Permohonan telah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dan secara rasminya telah diluluskan pada 19 Disember 2003 dengan nama PERSATUAN KETURUNAN MEGAT TERAWIS MALAYSIA.